Oct 23, 2022

12 Lokasi Menarik Yang Terdapat Di Kampar Perak (Korang Perlu Tahu)

Hi Korang,

Harap korang semua dalam keadaan sihat sejahtera. ok kali ni aku nak share dengan korang semua 12 tempat menarik yang terdapat di Kampar. Ini merupakan pengalaman pertama aku berkunjung ke Kampar ye. Jadi aku sangat teruja di dalam pengembaraan kali ni dan aku sendiri percaya masih ramai lagi yang tidak tahu yang Kampar sebenarnya ada tempat bersejarah yang harus dilawati.

Restoran Iqa Corner Nasi Wanggey Malim Mawar

Sebelum kita berkunjung ke tempat bersejarah, apa kata aku bawa korang pergi menyantap hidangan istimewa yang terdapat di daerah kampar ni. First kita singgah makan di Restoran Iqa Corner Nasi Wanggey Malim Mawar. Kat sini popular adalah mereka punya Nasi Wanggey atau ada orang panggil Nasi Kandar. Memang kuah yang pekat dan pelbagai pilihan dengan lauk pauk yang sedap. 

Orang kata tu lepas basuh tangan pun bau kari dia still melekat. Fuhhhhh Bukan itu saja Kepala Ikan Gergasi merupakan salah satu menu tumpuan yang terdapat di restoran ni. Menurut Kak Ijan iaitu pemilik restoran ini mereka memang dapatkan bekalan kepala ikan setiap hari untuk mengekalkan kesegaran dan memastikan rasanya padu. Percayalah rasa dia memang padu kalau tidak, takde lah sampai orang kena beratur panjang setiap kali nak bersantap disini. Selain daripada Nasi Kandar ada juga menu-menu lain kat sini yang ramai orang suka seperti Mee Kari, Laksa, Nasi Briyani dan macam-macamlah


kalau nak berkunjung dekat kedai kak Ijan ni, harap maklum ye kena beratur sikit dan Kedai buka dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang dan tutup pada hari Sabtu. Tapi apa lah sangat beratur demi nak rasa makanan yang sedap kan? Bila perut dah kenyang so apa kata sambung trip kita ke tempat bersejarah yang ada di Kampar ni guys.

Muzium Gopeng


Pada awalnya bila sampai dekat sini, bila nampak dari luar tu seakan bukan macam Muzium pun ada juga. Ianya seperti penempatan perumahan warga tempatan. Muzium ini merupakan hak milik persendirian yang di usahakan oleh keluarga yang berasa dari Gopeng. Untuk pengetahuan korang, dulu kedai ni merupakan kandang kuda sewaktu zaman penjajah dahulu kala. Dari situ mereka kekalkan bangunan ni dan di jadikan muzium untuk lawatan para pengunjung yang datang ke sini. 


Di sini terletaknya banyak sangat barang sejarah dan juga barangan antik yang dimiliki dan juga didapati daripada masyarakat setempat yang menyimpannya. Juga kat dalam muzium ini kita boleh nampak susunan gambar sejarah perubahan dari tahun ke tahun pekan Gopeng. Dulu orang lama panggil ia Mopeng iaitu nama sepena dengan seorang pengusaha biji timah yang membuka pekan ini. Kemudian kerajaan negeri menukarkannya dengan nama Gopeng bagi sudut penggunaan komersial.

Kat situ juga ada dipamerkan barangan tinggalan lama yang digunakan zaman dulu untuk melombong biji timah. Sebab banyak pedagang dan pekerja dari china yang dibawa masuk ke sini untuk mengusahakan pelombongan itu. Kini ia telah lama ditutup kerana kehabisan sumber dan juga bahan biji timah yang dilombong. Maka segalanya tinggal sejarah.

Nak kunjungi muzium ini buka setiap hari dan tak silap tiada bayaran dikenakan kerana ia adalah salah tempat untuk generasi muda buat kajian dan mengenali sejarah Gopeng secara khusus. Harap ia akan terus dikekalkan selamanya kerana sejarah tidak mungkin berulang lagi. 

Muzium Pelombongan Biji Timah Kinta


Ini merupakan diantara Muzium yang dibina khas untuk menyampaikan penceritaan berkaitan teliti dengan pengusahaan pelombongan biji timah di kawasan Kinta yang pernah masyur satu masa dulu. Muzium ini terletak di tengah Bandar Baru Kampar sebelah dengan Pasaraya Econsave kalau tengok sekali imbas tak perasan pun ia adalah muzium.



Nak masuk muzium ini kena bayar iaitu RM5 untuk dewasa dan juga RM2 untuk kanak-kanak. Muzium ini besar dan lebih tersusun kemas kerana dijaga. Dari luar muzium dan nampak pelbagai peralatan dan mesin yang pernah digunakan zaman dulu kala untuk melombong biji timah. Juga ada replika patung yang sedang mendulang timah dengan cara tradisional.



Disini korang boleh libat dengan lebih mendalam dari segi bagaimana perubahan cara perlombongan ini dilakukan dari traditional hingglah ke cara modern. Juga nampak lubang yang digali sangat dalam dan besar serta hasil diangkut dengan menggunakan kenderaan besar. 
Begini kisah terjumpanya Timah di kawasan lembah kinta ni:

Dulu ada seekor gajah diberi nama Larut peliharaan Long Jaafar lari daripada jagaan dan gajah tu dijumpai sedang berkubang dalam satu kawasan paya. Selepas berkubang terkeluar dipermukaan paya biji timah yang ada di dalamnya maka Long Jaafar yang telah mengusahakan perlombongan biji timah disitu dan kawasan tu diberi nama Larut sempena dengan nama gajah peliharaannya itu. 

Paip Besar Gopeng



Disini juga ada cerita nya yang tersendiri, semestinya berkait rapat dengan sejarah perlombongan bijih timah. Sepanjang perjalanan korang dari Ipoh ke Kampar korang mesti akan nampak kelibat sejarah ini di tepi baju jalan dan ini hanyalah sebahagian paip yang digunakan untuk menyambung saluran air dari Ulu Geruntum dan Ulu Gerah ke kawasan perlombongan biji timah di Gopeng. Paip itu dipasang pada tahun 1908 dan mengalami penambahan dari satu paip kepada dua paip kerana permintaan perusahaan biji timah yang meningkat sejak tahun 1919


Panjang kesuluruhan paip ini dulu adalah lebih kurang 15km dan berdiameter 30inchi. Setelah tahun 2010 batang paip dan penyokongnya telah dirobohkan kerana struktur asal sudah tidak kukuh dan membahayakan pengguna jalan raya di situ. Kini tinggal lah sebahagian paip itu bagi memperingati tentang sejarah yang berada di Gopeng ni.

Menara Jam Kampar


Ini pun menarik juga, kalau korang perasan di tengah dataran Bandar Kampar, pasti korang akan terlihat  Menara Jam yang berasa di Jalan Gopeng dan Jalan Stesen. Disitu terletaknya Menara Jam Kemerdekaan yang telah dibina sejak tahun 1960. Menara jam ni sepenuhnya pada tahun 1961 dan di rasmikan pada tahun 1962

Menara tu kalau korang tengok dari dekat ia berbentuk segitiga dan mempunyai jam disetiap penjurunya. Jam itu pula akan berbunyi tepat setiap waktu. Kini kawasan tu kini berada di bawah jagaan MDK.

Arca Mendulang 


Selain dari Menara Jam yang bersejarah ni, tidak jauh dari situ korang akan tengok Arca Mendulang, merupakan sebuah lagi sejarah yang menceritakan betapa besarnya perusahan pelombongan biji timah di Kampar Perak ini. Maka pada tahun 1993-1994 telah dibina sebuah arca besar di kawasan Bulatan Muhibbah berhadapan dengan Ib Pejabat Polis Kampar. Idea reka bentuk arca mendulang ini dibuat oleh Prof. Madya Dr. Ariffin bin Mohd Ismail dari Falkuti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam.

Dibina dengan menggunakan logam tembaga yang membentuk figura manusia sedang melakukan kerja mendulang. Itu melambangkan bahawa di Perak biji timah paling megar satu masa dahulu. Siapa yang lalu di round about ni boleh lah tengok dengan lebih teliti ye.

Bandar Agacia 



Ini merupakan tempat persinggahan kita yang terakhir. Tidak lama dahulu bandar agacia ni lebih dikenali dengan nama gelaran Mini Disney Malaysia kerana reka bentuk bangungan kedai tiga tingkat yang di reka seperti sebuah bandar Eropah dan cat warna pastel yang terhias pada dinding bangunan tersebut. Bandar Agacia digunakan sebagai daya tarikan pelancong luar untuk bergambar dengan keunikan warna yang di gunakan pada bangunan ni.

Sememangnya aku berpuas hati sebab ini merupakan jelajah pertama aku dan siapa tahu sebuah pekan kecil ini mampu membuat penarikan ibarat berada di luar negara. Indah dan cantik. Cuma berharap bandar ini di bangunkan sebagai salah sebuah pusat komersial yang terdapat di kampar. 

Menerokai Gua Tempurung Gopeng


Untuk pengetahuan semua yang membaca entry ni, Gua Tempurung ni sebenarnya adalah satu mukim di daerah kampar dan sewaktu kami tiba disini begitu ramai pelancong dalam dan luar yang berkunjung. Semua datang dengan tujuan yang sama untuk menerokai Gua Tempurung yang penuh dengan sejarah ni. Ini merupakan kali kedua aku datang ke sini tapi kali ni lebih extreme sedikit sebab aku nak try ke Wet Area. Info lebih Gua Tempurung ni mempunyai ukuran panjang 1.9km dan tinggi 578meter dan dipercayai telah wujud sejak 8000 SM lagi
Gua Tempurung di beri nama ini kerana pada puncak gua tersebut seakan nampak seperti bentuk tempurung kelapa. Ia juga mempunyai satu pintu utama dan satu salur udara sahaja untuk masuk ke dalam perut gua ni. Perjalanan boleh memakan masa lebih kurang 4 hingga ke 5 jam.

selain dari ikut trail yang di sediakan, ianya juga terdapat sebanyak 1500 anak tangga yang perlu para pengunjung ni kena lalui. Seperti sedia maklum dalam gua ni dia ada Section Kering & Basah. Untuk sampai ke section basah korang kena melalui section kering iaitu mengikuti trail yang telah di sediakan. Andai korang tidak larat, jangan risau ada beberapa station perhentian yang di berikan untuk korang berehat seketika. Memang di akui di trail dan track dia memang menguji stamina kita. 

Jangan risau di sepanjang check point abang tour tu akan memberi sedikit penerangan berkenaan sejarah yang terdapat di dalam gua ni. Sebelum tahun 1935 gua ini antara tempat perlombongan biji timah secara kecil-kecilan. Juga ia pernah dijadikan tempat perlindungan orang kampung dan komunis daripada tentera musuh. Sebab boleh lihat ada beberapa tinggalan barangan yang digunakan orang dulu dalam gua serta juga lukisan yang asal pada dinding gua ini. 

Lepas lalu perjalanan kering kami masuk pula bahagian basah yang ada anak sungai sepanjang 1.6km dalam gua. Ini sangat mencabar kerana kami perlu melalui kawasan yang rendah dan siap meniarap untuk redah air yang tinggi di bawah batu kapur tersebut. Di sarankan untuk pakai pakaian yang selesa sebab confirm korang akan basah bila keluar dari sini. Yang lebih mencabar kita hanya bergantung dengan cahaya dari head light. Ekspedisi lebih meriah kalau korang pergi dalam group sebab aktiviti ni memerlukan semangat kerjasama. 

the best part bila kita nampak penhujung jalan, umpama ada sinar harapan disitu haha. Penat yang kita tempuh selama berjam tu tidak lagi terasa. Matlamat utama untuk habiskan ekspedisi ni untuk menuju ke pintu keluar. Setiba diluar kita akan melalui susur keluar ikut arus sungai tersebut. Pengembaraan yang begitu mencabar dan tidak saya akan lupakan :)

Gua Kandu, Gua Hijau


Selain daripada Gua Tempurung kat area sini juga ada satu lagi gua yang korang boleh datang untuk melihat keindahan alam semulajadi. Ia adalah Gua Kandu yang terletak bersebelahan dengan Gua Tempurung. Berbeza dengan Gua Tempurung, Gua Kandu tidak dijadikan sebagai kawasan untuk di terokai malah para pengunjung hanya boleh meninjau serta menikmati keindahan gua ni pada pintu masuk gua ini sahaja. 

Info tentang Gua Kandu ni, ianya merupakan gua ke 7 yang terpanjang di semenanjung Malaysia sepanjang 1100 meter. Gua sini merangkumi perbukitan batu kapur dengan morfologi kars yang menarik. Batu kapur di gua ini telah termetamorf dan berubah menjadi mamar akibat rejahan batuan garanit. 


Gua ini diangarkan berusia 417 sehingga 280 juta tahun dahulu dan dikatakan menjadi tempat penginapan dan persembunyian para komunis masa dahulu. Gua Kandu dan Gua Tempurung disenarai dalam salah satu Geotapak Geopark Lembah Kinta. Walaupun kami tidak dapat untuk explore dengan lebih jauh cukup sekadar hanya melihat dari luar kami sudah berpuas hati. Betapa indahnya ciptaan semula jadi yang ada di kampar ni.

Perak White Water Rafting


Aktiviti water rafting ni sememang nya menjadi tumpuan ramai bila datang ke kampar khususnya dan ini juga merupakan akviti pertama untuk aku nak cuba. Seteleh sekian lama akhirnya aku berpeluang untuk merasai aktiviti lasak sebegini. Dan seperti kebanyakan kita tahu yang Kampar juga merupakan di antara 'port' terbaik untuk merasai pengalaman water rafting ni. Aktiviti di ketua oleh insturctor yang berpengalaman dari Riverbug.

Setiba di Kem Riverbug kami terus daftar diri untuk aktiviti air ni dan juga mengambil segala persiapan keperluan sebelum diberikan taklimat oleh instructor mereka. Semua ahli dibawa menaiki lori untuk sampai ke kawasan puncak permulaan aktiviti water rafting yang mengambil masa lebih kurang 20 minit perjalanan. 

Selepas tu diberikan taklimat oleh instructor yang ada dengan teliti terutama taklimat keselamatan dan juga bagaimana arahan yang akan diberikan ketika berada atas boat dan juga sepanjang perjalanan. Water rafting kali ini melalui lebih kurang 5km Sungai Kampar dengan 14 buah jeram yang dilabelkan dengan tahap I hingga III. Sangat mencabara lah juga walaupun nampak air sungai tenang sahaja tapi banyak batuan kat sini.

Diantara kelebihan aktiviti ni lebih kearah kerjasama dan always alert dengan arahan dari leader. Tapi leader kami terpaksa bersabar sebab dalam group aku ni semuanya macam kana-kanak ribena, jenis tak duduk diam. Kesian abam instructor tu haha. Best dan juga korang kalau datang boleh contact Reverbug untuk mendapat khidmat mereka yang profesional. 

HOGA, Gaharu Tea Valley Gopeng


Kemudian kita pergi pula melihat keindahan flora dan fauna yang terdapat disini, walaupun ia bukanlah hutan semulajadi tapi ladang yang telah mula dibangunkan pada tahun 1992 dengan hanya sebanyak 200 batang pokok Gaharu sahaja. Kini terlah mula membesar kepada tanah seluas 300 ekar dengan ada lebih kurang 200 ribu batang pokok Gaharu. Ini lah yang dipanggil Gaharu Tea Valley atau Ladang Teh Gaharu Gopeng. Kini kawasan ini berkembang dan di jadikan sebagai salah satu tarikan pelancong.


Seperti sedia maklum khasiat dari Pokok Gaharu ini memang banyak kegunaan nya. Malah ianya juga berguna untuk hasilkan minyak wangi dari batangnya. Tapi kebanyakan nya digunakan untuk menghasilkan produk minuman seperti Teh & Kopi Pokok Gaharu, bukan itu saja ianya juga turut di perluaskan bagi kegunaan komestik.

Lokasi ladang ini hanya 3km daripada pekan Gopeng dan hanya RM10 tiket masuk untuk dewasa dan RM5 untuk tiket masuk bagi kanak-kanak. Dalam ni kita akan dibawa menaiki van yang disediakan untuk pergi ke beberapa checkpoint yang telah ada seperti checkpoint pertama View Stage di mana kat sini korang dapat melihat keseluruhan ladang pada kawasan tinggi dipinggir bukit. Sambil tu boleh nikmati minuman teh atau kopi dari pokok Gaharu. Cantik pemandangan kat sini kalau datang tenang nampak hijau sahaja. 

Lepas tu dibawa pula ke lokasi kedua iaitu checkpoint Hugging Park dimana kat sini ada beberapa pokok yang dilukis dengan lukisan menarik dan kita boleh bergambar OOTD dengan pokok dan sambil memeluk pokok Gaharu yang ada. Pokok di sini di cantikan agar ramai pengunjung boleh mengambil gambar kenangan.

Last sekali akan dibawa kepada checkpoint ketiga iaitu Love's Park di mana kat sini dikatakan ada sebatang pokok yang kelihatan seperti pasangan kekasih sedang menari dan berpelukan antara satu sama lain. Sesuai juga untuk bergambar dan menghabiskan masa menghirup udara segara. Cuma siapa tak tahan akan nyamuk kat sini ada banyak, jadi pakailah insect repellent. Satu jam juga korang akan berada dalam ladang Gaharu ini  memang best jarang masuk ladang besar macam ni.

West Lake @ Kampar 


Ia adalah kawasan tasik buatan hasil daripada tinggalan pelombongan biji timah yang satu masa dulu merupakan sumber utama di kawasan ini. Ia lebih kepada tasik kawasan riadah yang direka bentuk modern dan cantik. Kawasan ini amat popular bagi penduduk setempat, sebab ianya sangat sesuai untuk keluarga nak melakukan aktiviti riadah
Water Lake @ Kampar memandangkan tasik ni sangat luas ramai kaki pancing yang turut mengambil peluang untuk memancing disini. Ia kawasan tasik yang terbuka sesiapa boleh datang masuk kerana percuma jer. Tasik ini dibangunkan oleh pemaju perumahan berhampiran untuk ada kawasan riadah dan aktiviti pemilik perumah di situ. 

Disini sini juga merupakan spot terbaik bagi mereka yang nak buat outdoor wedding photoshot. Pemandangan dekat sini memang tenang je kan. Bagi mereka yang stress dengan kesibukan kerja tu apa kata ambil peluang untuk menikmati pemandangan yang sangat tenang di West Lake ni.

Akhirnya kita dah sampai di penghujung entry. Harap korang kalau datang ke Kampar tu boleh lah terjah semua tempat yang aku list kan di atas ni ye. Sila share dengan semua yang Kampar ni memang sangat berbaloi dengan tempat bersejarah dan aktiviti alam semula jadi. Jika ada kelapangan memang aku akan repeat datang ke kampar lagi. See you guysss.

Kalau nak info lebih pergi je ke: Instagram https://www.instagram.com/beyoutiful_kampar atau ker laman sesawang Majlis Daerah Kampar https://www.mdkampar.gov.my

No comments :

Post a Comment

Anonymous kindly be nice to me!
Paling tak suka SPAM yang datang dari negara omputih, tak yah nak comment speaking sangat lah kat Blog aku ni