Tun M sudi untuk meluangkan masa berkongsi pengalaman beliau bersama warganet khususnya pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.
Menerusi program kemuncak ‘Educareer Pasca COVID-19 Bootcamp’ yang bakal berlangsung pada 22 Ogos 2021, Tun M akan bersembang santai bersama hos, Tengku Izwan Fareed mengenai topik ‘Revolusi Pendidikan Tinggi Supaya Relevan Dengan Pasaran Kerja’ di semua platform media sosial YEG Academy dan negarawan itu bermula jam 10.30 pagi.
Asbab hasil tinjauan mendapati 90% pelajar yang
menyambung pengajian di IPT menyesal dengan jurusan yang mereka pilih, pihak
YEG Academy turut berharap agar Tun M yang pernah diberi mandat sebagai Menteri
Pendidikan suatu ketika dahulu dapat berkongsi pendapat beliau bersama warganet
kelak.
Sebelum itu, usahawan dan penyanyi rap terkenal, Caprice akan
terlebih dahulu membuka tirai pagi dengan turut berkongsi pengalamannya dalam
mengejar cita-cita.
Menariknya mengenai ‘bootcamp’
anjuran YEG Academy, ia bukan sahaja berlangsung secara atas talian malah
turut menampilkan ramai personaliti dan selebriti-selebriti terkenal tanah air
yang terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti MK K-Clique, Caprice,
Ernie Zakri, Wani Kayrie, Faiz Dickie, Pencetus Ummah (PU) Amin serta ramai
lagi. Dalam masa yang sama , YEG Academy sekaligus menjadi platform pendidikan
dan kerjaya atas talian pertama di Malaysia yang menjayakan program seumpama
ini.
Mula berlangsung pada 2 Ogos lalu, mereka yang telah menonton
siaran langsung ini rata-rata memberikan maklum balas yang sangat positif.
Antaranya mereka dapat membuat pilihan jurusan yang lebih tepat, mengenali
potensi diri, mengetahui kehendak industri serta banyak lagi.
Menurut pengarah YEG Academy, Encik Hasan bin Ithnin dan Encik
Azizulhakim bin Suhaimi tujuan mereka adakan program ini adalah kerana ingin
membantu pelajar sekolah dan universiti di luar sana memilih kerjaya yang tepat
dengan keperluan industri kini dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan
kadar pengangguran negara.
“Tujuan kami menganjurkan
‘Educareer Pasca COVID-19 Bootcamp’ kerana ingin membantu golongan muda lepasan
SPM berusia 17 hingga 19 tahun atau mereka yang berminat, membuat pilihan tepat
dalam pemilihan institusi pendidikan tinggi. Untuk rekod, dalam tempoh tiga
tahun bermula dari tahun 2018 sehingga 2020, seramai 4000 golongan muda telah
dibantu oleh YEG Academy untuk menyambung pelajaran dan membina kerjaya” jelas
Hasan
Mengambil faktor situasi kini, YEG Academy juga telah mengadakan
sesi siaran langsung ‘virtual’ ini secara percuma di laman Instagram yang mana
nilai sebenar bagi penyertaan ini adalah sebanyak RM1999 seorang. Ditambah pula
program ini turut mendapat sokongan daripada Tabung Haji, Latihan Industri
Bergaji Penuh (LIBP), Innovative School of Management (ISM) dan Aviation Career
Malaysia.
“ Kami sedia maklum akan
keadaan negara sekarang yang berhadapan dengan pandemik COVID-19 sejak setahun
yang lalu menyebabkan ramai golongan muda mengeluh tiada rujukan tambahan
mengenai hala tuju mereka selepas SPM
“Jadi, YEG Academy telah
memutuskan untuk mengadakan sesi perkongsian idea dan pandangan buat julung
kalinya bersama figura-figura terkenal tanah air secara percuma. Ini adalah
peluang keemasan untuk mereka sertai sesi ini kerana pada dasarnya mereka perlu
membayar sebanyak RM 1999 bagi sesi selama 21 hari namun kali ini ia adalah
percuma” tambah Azizulhakim
Faktor penceramah jemputan yang terdiri daripada personaliti dan
selebriti terkenal tanah air pula adalah kerana YEG Academy ingin mempelawa
mereka berkongsi pengalaman terdahulu sebelum terkenal dan berjaya di dalam
bidang masing-masing.
“Kami melihat mereka
bukan sahaja kerana terkenal atau dikenali sebagai selebriti semata-mata.
Namun, kerana pencapaian yang telah dikecapi sebelum ini membuatkan kami
terpanggil untuk mempelawa mereka berkongsi pengalaman. Sebagai contoh, Wani
Kayrie telah berjaya mendapat keputusan cemerlang di dalam SPM dan Faiz Dickie
pula pernah bergelar sebagai pensyarah”
“Dengan kredibilti mereka
sebagai figura terkenal, kami percaya dapat memberi inspirasi kepada golongan
muda yang menonton sesi bicara ini. Tidak dilupakan, Tun M yang sememangnya
dikenali dunia sebagai salah seorang pemimpin yang disegani. Sudah pasti, banyak
perkongsian yang akan dibuat oleh negarawan ini apatah lagi penonton boleh
bertanyakan soalan ketika siaran langsung itu dibuat kelak” ujar Hasan lagi
No comments :
Post a Comment